Friday 12 June 2009

Buntu

salam saifi...

Alhamdulillah saya dan rakan-rakan sepengajian kos syariah islamiah, universiti Al-Azhar Mansurah sudah tamat menjalani peperiksaan tahun akhir kami pada 11 jun yang lalu.

Bila sudah selesai semua peperiksaan, masing-masing sibuk bertanya, bila saya akan pulang ke Malaysia, dengan jawapan yang ala-ala malas saya berikan "tanyalah selepas bulan 8 nanti yer, time tu natijah keluar.. adushh".

Kepenatan berdepan dengan kertas-kertas peperiksaan belum reda, mungkin sehingga keputusan peperiksaan keluar. Namun saya kena terus bersemangat untuk beberapa perancangan ilmiah di musim cuti ini.

Semoga masih ada semangat yang berbaki!!

narumi_aizawa,
teratak qatrunnada'
12 Jun 2009
5.52 p.m

Thursday 16 April 2009

Tindakkan Dan Pasangan Anda

Beberapa hari lepas, ada seorang sahabat saya telah bertanya satu soalan psikologi yang saya kira sangat menarik. Ianya bukan sembarangan soalan kerana daripada jawapan yang diberikan, anda dapat mengetahui sebab mengapa seseorang itu memilih pasangan mereka.

Walaupun ia cuma ramalan psikologi, namun ada juga kebenarannya. Nak tahu apa soalan tersebut? Baik, saya kongsikan dengan anda. Soalannya berbunyi begini. Ada 5 perkara berlaku serentak.

1.Air mendidih kat dapur.

2.Air paip melimpah kat bilik air.

3.Bayi menangis.

4.Telefon berbunyi.

5. Ada orang ketuk pintu.

Kalau anda diberi pilihan, apakah perkara yang anda akan selesaikankan terlebih dahulu? Anda dikehendaki untuk menyusun perkara 1 ~ 5 tersebut mengikut kepentingan dan keutamaan yang anda fikirkan. Semua perkara tersebut mestilah diselesaikan. Susunlah ikut perkara yang anda rasa lebih penting untuk diselesaikan dahulu. Bayangkan anda sedang mengalami keadaan seperti itu sekarang. Fikirkan dan timbangkan, apakah perkara yang anda akan selesaikan mengikut keutamaan anda.


Fikir...

Fikir...

Fikir...


Baik, dah habis fikir dan buat keputusan? Nak tahu apakah fakta terselindung disebalik jawapan yang anda berikan? Baik, mari kita semak jawapan anda. Apakah ciri/sifat/perkara yang anda utama dan pentingkan dalam memilih pasangan anda.

1) Kalau anda memilih untuk menutup air medidih : menandakan anda mementingkan keselamatan dan kebolehan 'si dia' untuk membimbing anda.

2) Kalau anda memilih untuk menutup pili air yang melimpah di bilik air : menandakan anda mementingkan kekayaan,wang ringgit dan harta.

3) Kalau anda memilih untuk memujuk bayi yang menangis : menandakan anda mementingkan cinta dan kasih sayang.

4) Kalau anda memilih untuk mengangkat telefon yang sedang berbunyi : menandakan anda mementingkan akhlak, budi bahasa dan perlakuan pasangan anda.

5) Kalau anda memilih untuk membuka pintu : menandakan anda mementingkan rupa paras, fizikal luaran dan personaliti pasangan anda.

Haaa bagaimana dengan keputusan anda? Bagus? Anda boleh bertanya soalan ini kepada rakan-rakan anda untuk mengetahui apakah perkara-perkara yang mereka utamakan dalam memilih pasangan hidup.

Selamat Mencuba.


sumber di petik dari : http://ekramhakim.blogspot.com/2009/03/psikologi-percaya-atau-tidak.html

Friday 27 March 2009

Dua Bulan Itu

Tanggal 24hb Januari yang lepas, baru lagi rasanya hari tersebut berlalu, masih terasa pening-pening kepala sebab tertonggang-tonggek mengulangkaji dan mengkhatamkan kitab-kitab kuliah, rupa-rupanya sudah dua bulan tamatnya peperiksaan semester pertama bagi tahun terakhir pengajian saya di Universiti Al-Azhar.

Selama sebulan selepas tarikh tersebut saya betul-betul manfaatkan cuti yang di berikan pihak universiti untuk bercuti. Sampai terlupa masih ada rakan-rakan kuliah yang berperang di dewan peperiksaan, mengambil subjek yang masih berbaki bagi tahun lepas. Selama sebulan inilah saya bersama empat sahabat saya yang lain, kelop, ecah, temah & citah meluangkan masa bersama (seorang lagi tidak bersama kerana tidak dapat di hubungi). Terima kasih buat sahabat-sahabat saya atas persahabatan yang tiada tolok bandingnya.

Kelas bagi semester kedua pula bermula pada akhir bulan dua yang lalu, bermakna sudah sebulan juga pensyarah-pensyarah giat masuk ke dewan-dewan kuliah untuk meneruskan proses pembelajaran seperti biasa.

Semester kedua ini saya mempunyai tujuh subjek untuk di "ganyah" habis-habisan memandangkan ini adalah tahun akhir pengajian saya di mesir. Hanya tinggal nyawa-nyawa ikan untuk terus bersemangat di Perlembahan Nil ini.

Alhamdulillah, tiga kitab sudah berada di tangan awal semester pertama lagi, masih dalam proses untuk di khatamkan, tinggal 40% lagi untuk di habiskan. Silibus Al-Quran pula masih dalam "corat-coret" mahasiswa mansurah, sama ada lapan juzuk ataupun empat juzuk, tetapi bagi saya sendiri, saya memegang lapan juzuk untuk kemaslahatan semua... hihi. Kitab Hadith Ahkam dan Qodhaya Mua'saroh masih belum di keluarkan pihak universiti, perkara ini betul-betul merisaukan saya memandangkan pensyarah bagi dua subjek ini sudah rancak memulakan pengajian, walaupun ini merupakan perkara yang biasa bagi sistem dan mahasiswa yang belajar di Universiti Al-Azhar.

Lagi sebulan setengah masa yang tinggal untuk menghadapi peperiksaan semester kedua. Semoga di beri kesihatan badan, kecerdasana akal fikiran dan kelapangan masa untuk mengulangkaji.

p/s: jom ke kuliah! kita pakat ramai-ramai score MUMTAZ!

Tuesday 3 March 2009

Seruan Ke Pangkal Jalan

Wah, macam serius sahaja tajuknya kan? sebenarnya bukan seserius tajuk yang mungkin tergambar di benak kalian ketika membaca tajuk ini, seperti wah, tajuk ini mesti hendak mengajak kembali kepada Allah atau kembali kepada Islam.

Ok lah, banyak perkara sebenarnya yang boleh kalian takwilkan, tetapi tajuk di atas bertujuan untuk menyeru sahabat-sahabat yang berada di bumi Mesir kembali ke kuliah masing-masing, khususnya kuliah di Universiti Al-Azhar Mansurah, kerana kuliah sudah bermula dengan rancaknya. Tinggalkanlah tugasan sampingan buat sementara waktu memandangkan seruan utama kita ke bumi Mesir ini sudah bermula.

Mari kita muhasabah diri, tujuan utama kita datang ke bumi Mesir. Untuk menuntut ilmu Allah SWT. Tinggalkan saratoga dan tilam empuk kalian. Lawan dingin angin Mesir. Bangkit dari silaan di hadapan komputer yang tidak akan tertutup selagi kalian berada di hadapannya.

Jangan sampai sudah di tahun empat tetapi doktor kalian masih tidak kenali, masih kalian tidak pernah bersapa, masih kalian tidak pernah bersua muka... bangkitlah dari lena yang panjang, dari mimpi yang hanya sementara mengasyikkan.

p/s : jom ke kuliah!!!

Wednesday 25 February 2009

Aku VS Cinta

Saat aku ketepikan cinta…
Ada saja insan lain yang hadir dihadapanku

Saat aku ketepikan cinta…
Ada saja insan lain yang ingin mencintaiku

Aku terlalu lemah
Aku terlalu cepat untuk jatuh cinta
Kenapa semua ini harus ada pada ku?
Sedang aku telah melontarkan
Perasaan cintaku kedasar lautan
Apakah cinta itu tidak boleh dibuang?

Apakah cinta itu ada saktinya?
Hingga ia kembali menghantui ku
Aku mula gundah dibuatnya

Aku takut cinta itu
Akan menikam ku dari belakang
Aku takut cinta itu
Melemaskan ku dalam dunia kelalaian
Aku teramat takut
Bila cinta itu merosakkan diriku

Mengapa harus ada cinta?
Mengapa harus aku milikinya?
Sedang aku tidak kenal apa itu cinta
Mengapa aku perlu dicintai?
Apakah aku miliki keperluan untuk bercinta?
Apakah aku dapat membina cinta itu?
Seperti membina sebuah mahligai kristal?

Aku sungguh tidak mengetahuinya
Malah Hatiku semakin gundah
Kekeliruan sering kali mendatangiku
Apakah itu suatu petanda untuk ku mengetepikan cinta?
Apakah itu suatu mesej untuk ku lupakan cinta?
Apakah itu suatu pesanan untuk ku tinggalkan cinta?

Aku masih keliru
Apakah nanti aku bisa hidup tanpa cinta?
Aku semakin keliru
Pemikiranku mula terganggu
Bagai benang bersuntingan

Satu keyakinan yang pasti masih ada padaku
Ialah cintaku pada yang Esa

Aku memohon kepadaNya
Agar memberiku petunjuk jalan yang benar
Supaya diriku tidak hanyut dalam dunia kelalaian


P/S : Kenapa aku marah? Untukku buang jauh perasaan cinta itu!

Monday 23 February 2009

Ilham Dari Mana?

Bismillah...

Ilham

Aiza menulis untuk diri, andai ada yang sudi berkongsi ahlan wa sahlan. Menulis dan menjadi penulis bukan satu tugas yang remeh sebenarnya bagi Aiza lah, buktinya sudah 3 tahun mengenali dunia blog, tapi baru kali ini Aiza berkomitmen untuk berblogging.. ehee..

sebabnya...

Saifulislam.com (SIO)

SIO merupakan sebuah blog yang Aiza akan ziarah hari-hari, kadang-kadang 3 kali sehari, dan adakalanya sehari suntuk Aiza habiskan masa untuk ber"zikir fikir". SIO merupakan sebuah blog milik Ustaz Hasrizal Jamil, anak kelahiran Perak dan selebihnya mengenai beliau boleh di dapati dari blog beliau sendiri.

Sudah masuk hampir 4 tahun Aiza menjadi silent reader di SIO, posting-posting di SIO banyak membantu Aiza muhasabah diri dan sekaligus membantu Aiza memahamkan diri akan realiti sebuah perhentian (dunia) dan tugas sebagai pembawa agama Allah Ta'ala.

Syukran pada SIO kerana memberi ilham kepada Aiza untuk terus berjuang di lapangan ini.

Iluvislam.com (ILI)

Keduanya website ILI juga menjadi salah satu pendorong Aiza untuk membina "perhentian" ini. Aiza tidak pasti adakah ILI dikenali di kalangan mahasiswa di Mesir, tapi Aiza dapat agak, ILI dikenali kerana sahabat-sahabat Aiza selalu mengambil isu semasa dari ILI untuk di jadikan bahan dalam usrah atau perjumpaan ilmiah.

Kenapa begitu pasti?

Sebabnya Aiza merupakan salah seorang moderator soal jawab agama ILI, sudah setahun mengendalikan forum ILI, menyebabkan Aiza cepat menangkap isu-isu yang sahabat-sahabat utarakan di ambil dari ILI.

Alhamdulillah, matlamat presiden kami saudara Imran dan sahabat-sahabat nampaknya telah menampakkan hasil.

Sejak Aiza menjadi salah seorang moderator ILI, boleh di jumlahkan 30 emel/hari akan masuk dalam inbox emel Aiza, ada yang bertanyakan berkaitan hukum dan sebenarnya yang lebih banyak berkongsi duka dengan Aiza. Aiza bukanlah orang yang layak untuk menjawab setiap persoalan yang masuk.

Selalunya berkaitan hukum Aiza ambil masa paling kurang 3 hari untuk reply balik sebabnya ilmu yang Aiza ada belum cukup untuk melayakkan Aiza menyelesaikan permasalahan berkaitan, melainkan Aiza bertanyakan pada yang berkelayakkan seperti mudir Aiza, Ustaz Mohd Arif Abdul Kadir (Malaysia), Ustaz Salman Maskuri (Mesir) serta merujuk beberapa buah kitab yang Aiza pernah pelajari.

Dan yang paling banyak adalah luahan emel dari adik-adik perempuan, samaada berkaitan masalah keluarga, percintaan serta permasalah identiti diri. Begitu banyak. Ianya menyedarkan Aiza bahawa ummat semakin parah, para da'i harus peka dah merawat luka ini.

p/s : tak nak ulas panjang kerana entri kali ini tentang ilham, bukan tentang dakwah. InsyaAllah Aiza akan kupas berkaitan dakwah di lain entri ya.

Dan jangan ada yang salah faham, bila Aiza nyatakan hal di atas, ILI bukan website luahan perasaan tetapi ILI merupakan satu wasilah untuk kami berdakwah.

teratak daisy
@2.25 p.m
selepas balik kuliah usul fiqh

Sunday 22 February 2009

Bertambahnya Ahli Keluarga Saya

"salam angah, along dah selamat akad nikah pagi tadi" sms ringkas dari adik saya, Ain tepat jam 12.30 tengah hari waktu Malaysia.

Alhamdulillah, saya sujud syukur dengan khabar yang diterima. Abang saya sudah selamat bergelar suami setelah dua tahun menyulam kasih dengan pasangannya, Raudhatul Jannah binti Sarun yang kini kami sekeluarga menyerahkan pangkat kak long kepadanya.

Sms ucapan tahniah langsung saya kirimkan buat along dan kak long beserta doa dari sini.

Majlis akad nikah berlangsung 14 Disember 2008, seminggu sebelum kenduri di rumah pihak perempuan iaitu di teratak ayahanda dan arwah bonda kak long di Batu Pahat, Johor, Kemudian di susuli dengan kenduri di rumah pihak lelaki pada tanggal 27 Disember 2008, di rumah kecil kami di Mersing.

Saya hanya berkesempatan menghubungi keluarga seminggu sebelum mereka di akad nikah, kerana sibuk menguruskan perpindahan rumah kami di Mansurah, Mesir. Bertanyakan pada bonda persiapan untuk menyambut menantu. Dan bonda memberitahu hanya sedikit sahaja persiapan yang di buat memandangkan bonda demam dan memenuhi banyak jemputan perkahwinan dari sahabat-sahabat dan jiran-jiran baik jauh mahupun dekat. Ah bonda, tidak pernah mengatakan "tidak" atas jemputan-jemputan sedemikian walaupun diri sebenarnya hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Dua hari selepas majlis iaitu 29 Disember baru saya berkesempatan menghubungi semula keluarga di Malaysia untuk bertanyakan soal perjalanan majlis. Alhamdulillah, ceria suara bonda menyambut panggilan saya. Hampir dua jam setengah kami berbual, bercerita dari sebelum majlis akad nikah sehinggalah majlis menyambut ulangtahun kelahiran along yang ke-24 pada malam 27 Disember, malam yang sama majlis kenduri perkahwinanya.

Walaupun penat, bonda kata ianya berbaloi dan kemeriahan majlis membuatkan bonda lupa akan kepenatannya. Bayangkan hampir dua ribu jemputan datang memenuhi jemputan ayahanda dan bonda, baik dari saudara-mara, kenalan mereka, jiran tetangga dan sahabat-sahabat along sendiri, bonda kata "memang tak menang dek tangan melayan".

Hampir sebulan selepas perkahwinan mereka berlangsung, baru saya dapat melihat gambar-gambar perkahwinan mereka, itu pun hanya di sebelah pihak perempuan. Manakala gambar-gambar di rumah saya sendiri, saya masih menantikannya.